Saturday, June 27, 2009

Pengantin Bertudung Labuh

Dipetik daripada Berita Harian:

Kenali Gaya: Raja sehari anggun bertudung labuh


WALAUPUN berjubah dan bertudung labuh, bakal pengantin tidak seharusnya menjadikan ia sebagai batasan untuk bergaya pada majlis bahagia mereka.

Kini, butik pengantin muslimah sudah banyak terdapat di serata tempat bertujuan memenuhi kehendak wanita bertudung. Oleh itu kebijaksanaan memilih pereka fesyen tentunya menjamin anda tampil anggun bak raja sehari tanpa perlu menukar gaya tudung.

Biasanya untuk pengantin muslimah, saya akan lakarkan jubah labuh fesyen berpotongan longgar tanpa jahitan ‘dart’ yang boleh memperlihatkan bentuk tubuh mereka.

Kelainan jubah hanya ditekankan di bahagian lain misalnya potongan lengan yang dibuat berlapis menggunakan renda Perancis berlapikkan sutera sifon. Sebagai pilihan, anda boleh pilih untuk mengenakan renda Perancis atau sutera sifon sebagai bahan asas jubah itu nanti.

Bezanya renda Perancis tentunya akan membuatkan gaya tampak mewah tapi pilihan sutera sifon berkualiti juga tidak kurang menarik malah ia tentu tampak cantik pada tubuh anda yang berukuran normal.

Jubah dibuat terbuka di depan seperti potongan kebaya tapi dipotong labuh sehingga menutupi kaki. Di bahagian dalam jubah, padanan kain kembang berpotongan A-line menyerlahkan keindahan busana.

Untuk kelainan, kain kembang payung boleh dipotong tiga keping di bahagian belakang. Kesannya boleh terlihat dramatik persis puteri.

Teliti lakaran di mana ia kelihatan sarat namun perhatikan penggunaan kain renda Perancis hanya di bahagian lengan dan dalam baju membuatkan gaya terlihat seimbang. Bahagian lain dibuat menggunakan sutera sifon dan dijahit perincian manik bagi menampak kemewahan rekaan.

Ikatan tudung sangat penting untuk wanita muslimah kerana mereka pastinya tidak selesa jika merubah gaya bertudung lain daripada kebiasaan mereka. Di Butik Syahirah, kami boleh menggayakan ikatan tudung untuk pengantin bertudung labuh tanpa perlu menanggalkan tudung mereka.

Pemakaian anak tudung sepadan tatahan manik pada baju juga boleh membiaskan pesona pengantin. Jangan lupa lengkapkan persalinan dengan pemakaian layah labuh berpotongan A-line.

No comments:

Post a Comment